
Bermula 1 Jun 2024, Peraturan BOWECS sudah tidak terpakai. Walau bagaimanapun satu peraturan baharu untuk industri pembinaan iaitu Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) atau lebih dikenali sebagai Peraturan CDM telah diwartakan dan dikuatkuasakan pada 1 Jun 2024 menggantikan Peraturan BOWECS sekaligus pemberitahuan tapak bina JKJ103 di bawah Peraturan BOWECS di gantikan dengan JKKP12 di bawah Peraturan CDM.
Merujuk kepada Peraturan 8, Peraturan CDM 2024, menetapkan setiap projek pembinaan yang akan dijalankan melebihi 30 hari bekerja atau melebihi 500 hari orang bekerja projek ini hendaklah membuat pemberitahuan kepada JKKP oleh klien.
Maksud bagi 30 hari bekerja adalah mengikut bilangan hari kerja pembinaan dijalankan. Sebagai contoh sekiranya projek pembinaan hanya berjalan pada hari isnin hingga sabtu dalam seminggu, hari ahad tidak dikira sebagai hari bekerja.
Maksud 500 hari orang bekerja pula adalah bilangan orang yang bekerja (sama ada di tapak atau di pejabat atau di mana-mana ia berada) dalam satu hari tidak kira berapa jam dikalikan dengan bilangan hari projek pembinaan berjalan. Sebagai contoh satu projek mempunyai 30 orang pekerja berjalan selama 20 hari, bersamaan dengan 600 hari orang bekerja. Projek ini perlu membuat pemberitahuan.
Buat sementara waktu JKKP menetapkan cara untuk membuat pemberitahuan adalah menggunakan Google Form yang boleh dicapai melalui capaian https://bit.ly/JKKP12.
Dikemas kini pada: 22 Julai 2024